Sunday, March 7, 2010
TERIMALAH KEMBALI CINTAKU
Hujan berbisik tanpa kekalahan
di celah bisikkan bertafakur aku sendirian
mencari di mana letaknya cinta yang pernah ku julang
setelah aku temui kesedihan yang menikam-nikam
penderitaan yang membalun onak kehidupanku ini
baru ku tersedar akan cintaku yang telah hilang
baru ku terjaga dari lenaku yang panjang
entah betapa lagaknya keegoanku ketika itu
sehinggakan cinta yang pernah datang kepada-Mu
aku relakan terbiar hilang dan pergi menjauh
bersama rasa kejahilanku yang tinggi menggunung
Sebenarnya hati ini amat cinta kepada-Mu
rinduku ini hanya tersemat untuk-Mu
tidak pernah sedikit pun hati ini terdetik
mahu berpaling cinta dari-Mu
tidak pernah sekali pun keinginanku ini
untuk mendustai rasa cintaku pada-Mu
kerana aku sendiri mengerti dan memahami
hanya pada-Mu tersimpannya cinta yang hakiki
Namun kenapa tegarnya aku mungkiri
cintaku yang pernah datang pada-Mu?
kenapa dengan lagaknya aku khianati
rinduku yang pernah singgah pada-Mu?
Kenapa dengan mudahnya bagi diriku
merampas kembali cinta yang pernah ku serahkan?
kenapa telah aku biarkan cinta ini
menjauh dari kasih cinta sejati?
sedang hati ini tetap ingin memiliki
cinta hakiki dari-Mu!.
Tuhanku,
Engkau ampunilah segala dosa-dosaku yang telah terhimpun
berilah aku taufik dan juga hidayahmu kepadaku
suluhkanlah sinar dalam hidup sepiku
agar cahayanya akan terpancar di hati ini
kerana sesungguhnya aku tidak larat lagi
untuk terus merayap di dalam kegelapan hidupku
biarkan sahaja aku terus mendampingi-Mu
walaupun hanya di atas sejadah lusuh ini
akan ku terus sujud memohon keampunan dari-Mu
sekalipun di atas penderitaan yang tiada tertanggung ini
tetap akan ku tadahkan tanganku yang kerdil ini
untuk memohon rahmat dan petunjuk dari-Mu
Tuhanku yang maha agung,
kiranya aku terpaksa meredah segala ujian yang mencabar
berulam dengan seribu cubaan dan rintangan yang melata
akan ku redha dan menerimanya sahaja
segala dugaan dan cubaan dari-Mu, Ya Allah!
walau ku tahu teramat berat bagi diriku
untuk menghadapi penderitaan dan pembalasan-Mu
di pentas dunia yang kian mencabar ini
walau ku tahu terlalu payah bagi diriku
untuk menepis segala dugaan yang mencabar
kerana sungguh aku percaya semuanya itu
pasti dapat menghapus segala dosa-dosaku
seandainya ketelusan hatiku ini Engkau terima
dengan penuh kerelaan dan keampunan dari-Mu jua
Namun,
akan ku cuba untuk mengusai warna kehidupanku
akan ku cuba lalui perjalanan di pentas dunia ini
dengan seribu rahmat dari-Mu
moga setiap inci perjalanan yang ku lalui nanti
tiada halangan dan rintangan yang menghalang
biarlah perjalananku selepas ini
akan aku temui penghijrahan yang hakiki
kerana hijrah yang aku dambakan ini
adalah jalan menuju ke alam syurga-Mu
Walaupun sebenarnya di benak hati ini
dapat aku rasakan sedalam-dalamnya
ketidaklayakkanku untuk menikmati alam syurga-Mu
ketidakpastianku untuk meniti seratus tingkat syurga-Mu
sehingga Engkau telah sudi
untuk mengampuni segala dosa-dosaku
sehingga Engkau telah rela
memberikan aku peluang walau sedikit cuma
untuk aku terus bertaubat dan memohon keampunan dari-Mu
sungguh aku percaya akan aku diusir dan dihalau pergi
memasuki tujuh pintu neraka yang telah Engkau janjikan
untuk penghuni-penghuni neraka yang dizalami
Ampunilah aku wahai Tuhanku
Tidak terlarat lagi untuk aku meratah dosa-dosa ini
Sehingga Engkau menerima taubat dan sesalanku ini
walau aku tahu seluas lautan pun airmata ini
tertumpahnya membasahi bumi yang sarat ini
walau berulam doa sering ku panjatkan
di kala tafakur dan sujudku ini
namun tidak akan mampu menghapus segala dosa-dosaku
tidak akan mampu membawaku masuk ke alam syurga-Mu
Justeru ku pohonkan semara telus dari-Mu
tapakkanlah sisa-sisa keampunan dari-Mu
terimalah kembali cinta dan rinduku ini
walaupun sekadar melukut di tepian kasihmu
sekadar mengintai-ngintai di birai pengampunan-Mu cuma
sungguh aku merelakan semuanya itu
kerana aku sangat mengharapkan hidayah-Mu
untuk aku menghapus segala dosa-dosaku
lantaran ketidaksanggupanku
untuk berada di alam penyiksaan-Mu
Engkau terimalah taubatku ini, Ya Allah!
terimalah aku menjadi ahli syurga-Mu
setelah Engkau sudi menerima kembali
cinta dan rinduku yang telah lama hilang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment