Isu sosial bukan lagi merupakan satu isu yang jangal dalam perbualan masyarakat kita hari ini. Ianya sering sahaja menjadi perhatian dari semua pihak. Isu sebegini seharusnya kita berikan perhatian yang lebih kerana dengan melatanya gejala sosial ini akan menjadikan negara kita lebih terancam. Keamanan, kemajuan dan juga pembangunan negara sudah semestinya terletak pada kecerdesan, kemahiran dan kemampuan kita sebagai masyarakat yang dilindungi di bawah panji-panji negara. Jadi, kenapa kita tegar membiarkan gejala sosial yang akan mengancam negara kita terus melata di bumi Brunei Darussalam yang permai ini?.
Oleh itu, kita sebagai masyarakat yang perihatin perlu meningkatkan usaha kita untuk menangani isu sosial ini secara bersepadu. Setiap individu perlulah memertabatkan keyakinan kita dan merealisasikan harapan kita sebagai masyarakat yang tidak camah mata untuk terus bersatu hati bagi membentras segala kegiatan sosial. Ini tidak kiralah gejala yang datangnya dari dalam atau luar rumah. Semuanya bergantung kepada kepintaran dan kesungguhan kita untuk menangani gejala sosial itu dari terus menjadi isu yang tiada berpenghujung.
Ke arah itu, pemimpin-pemimpin masyarakat, agensi-agensi kerajaan malahan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan haruslah kita berikan pujian pada kesungguhan dan kecekapan mereka bagi menangani isu sosial dari terus berleluasa. Kesederan yang mereka perlihatkan seperti melaksanakan pelbagai program dan strategi telah memberikan satu impak yang positif kepada masyarakat. Langkah seperti itu sangat relaven dan seharusnya perlu diperkembangkan dari masa ke semasa agar negara kita tidak akan tumbang dengan isu sosial yang akan mengancam negara kita. Sebagai ibubapa, bersamalah kita mendidik anak-anak kita ke arah kehidupan yang lebih terjamin dunia dan juga akhirat. Terapkanlah nilai-nilai keharmonian dalam rumah tangga agar ianya akan terpancar dan tiada lagi kemurungan yang bakal di bawa ke luar rumah sehingga mencetuskan gejala sosial. Kuatkanlah iman kita bagi menghindari diri kita dari melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah diri, keluarga dan juga negara.
Dalam kesulitan ekonomi keluarga pula, seharusnya kita lebihkan usaha kita untuk membanting tulang dan melipat gandakan usaha bagi menyara kehidupan berkeluarga. Memberikan asas pelajaran kepada anak-anak juga sebagai satu usaha untuk membela nasib keluarga di masa hadapan. Jika anak-anak berpelajaran dan berpengetahuan tidak mustahil isu kemiskinan dan gejala sosial akan luput di telan dek zaman.
Secara kesimpulannya, jika kita menerapkan asas-asas kehidupan dunia dan akhirat kepada diri, keluarga dan masyarakat kita sendiri, pasti isu sosial tidak akan timbul. Namun, ianya bergantung kepada keimanan seseorang itu. Jika keimanan kita masih utuh kepada Tuhan, nescaya kita akan mengurangkan beban kerajaan yang saban waktu mengalas masalah-masalah sosial yang kita sendiri bebankan. Seharusnya kita sebagai masyarakat umum perlu bekerja sama dan berganding bahu dengan agensi-sgensi kerajaan dan seumpamanya bagi menangani isu sosial ini dari terus melanda negara kita. Oraklah langkah dan kesungguhan kita dalam menangani isu sosial ini secara bersepadu bagi membela negara kita ini dari terus menerima ancaman yang lebih hebat.